Gallery

cover image
Thumbnail Image
24/06/2025

Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) GPQ Sdn. Bhd. ke - 45

GPQ Sdn. Bhd. telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-45, yang dipengerusikan oleh YB Ustaz Haji Hishamuddin bin Abdul Karim, Pengerusi GPQ pada 24 Jun 2025 bertempat di Hotel Paya Bunga, Kuala Terengganu. Semua resolusi yang dibentangkan telah diluluskan oleh para pemegang saham yang hadir. Pihak Pengurusan GPQ turut membentangkan keputusan pencapaian kewangan syarikat yang telah diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, yang mencerminkan pertumbuhan positif serta daya tahan syarikat dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa. Menelusuri tahun-tahun mendatang, GPQ akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan pertumbuhan strategik melalui peluasan segmen perniagaan teras dan pemacu inovasi, demi mencipta lebih banyak peluang serta kejayaan baharu. Segala inisiatif ini digerakkan dengan matlamat utama untuk menjamin manfaat jangka panjang serta kemakmuran bersama kepada semua pihak berkepentingan.

Thumbnail Image
22/06/2025

LAWATAN KERJA DYTM YANG DI-PERTUAN MUDA TERENGGANU KE TAPAK PROJEK MENAIKTARAF JAMBATAN MERENTASI SUNGAI MARANG, TERENGGANU

Yang di-Pertuan Muda Terengganu, DYTM Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, berkenan mencemar duli meninjau pelaksanaan Projek Menaiktaraf Jambatan Merentasi Sungai Marang, Terengganu pada 22 Jun 2025. Keberangkatan tiba baginda disambut oleh YBrs. Encik Zulkifly bin Isa, Pegawai Daerah Marang; YBrs. Encik Wan Muhd Masyhum bin Wan Harujan, Timbalan Pengarah Makro Unit Perancang Ekonomi Negeri; YBrs. Tuan Haji Khairil Anuar bin Sheikh Mahmood, Yang Dipertua Majlis Daerah Marang; YBrs. Ir. Ts. Mohd Khairul Amir bin Mohd Jamil, Jurutera Daerah Marang; YBrs. Tuan Haji Noor Mohd Suhaimie bin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif GPQ Sdn. Bhd., wakil-wakil daripada JKR Marang, Pejabat Daerah Marang, konsultan dan pasukan projek GPQ-LGBE Joint-Venture. Dalam sesi lawatan ini, taklimat ringkas mengenai perkembangan projek telah disampaikan oleh Pengarah Projek JKR, Ir. Haji Mazlan bin Mustapha.

Thumbnail Image
18/06/2025

Understanding E-Invoice: Requirement for Your Business

GPQ Sdn. Bhd. dengan kerjasama anak-anak syarikat di bawah Kumpulan GPQ telah menganjurkan satu sesi latihan dalaman bertajuk “Understanding E-Invoice: Requirement for Your Business” pada 18 Jun 2025 bertempat di Dewan Lawang, Felda Residence, Kuala Terengganu. Latihan ini diadakan sebagai persediaan awal Kumpulan GPQ terhadap pelaksanaan mandatori e-Invois yang akan dikuatkuasakan secara berperingkat oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bermula 1 Julai 2025. Sesi ini melibatkan penyertaan ketua-ketua bahagian serta kakitangan yang terlibat secara langsung dalam urusan kewangan dan perakaunan. Antara topik utama yang dibincangkan termasuk pengenalan kepada sistem e-Invois di Malaysia, pematuhan terhadap peraturan dan piawaian yang ditetapkan, aliran serta mekanisme penghantaran e-Invois, dan pengendalian senario transaksi khusus berkaitan dengan operasi syarikat. Latihan ini telah disampaikan oleh jurulatih bertauliah, Encik Muhammad Aminudin bin Awaludin, dengan objektif utama untuk meningkatkan kefahaman serta memastikan kesiapsiagaan organisasi dalam melaksanakan sistem e-Invois secara menyeluruh dan efisien, selaras dengan garis panduan terkini pihak berkuasa. Kumpulan GPQ kekal komited memperkukuh tadbir urus korporat dan menyokong agenda pendigitalan selaras dengan kehendak pematuhan negara.

Thumbnail Image
12/06/2025

LAWATAN KE TAPAK PROJEK PENGAWALAN HAKISAN PANTAI KUALA NERUS, TERENGGANU OLEH STRAITS OF MELAKA WATERFRONT ECONOMIC ZONE CORPORATION (SM-WEZ)

Delegasi SM-WEZ yang diketuai oleh Jurutera, Encik Nik Muhammad Izzat bin Azhar telah mengadakan lawatan ke tapak Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Kuala Nerus, Terengganu pada 12 Jun 2025. Turut hadir ialah Encik Khairul Nizam bin Khalid Mirza, Naib Presiden Strategi Korporat dan Perancangan Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc); Encik Mohd Firdaus bin Abd Rahman, Naib Presiden Strategi Korporat dan Perancangan Kumpulan (Teknikal) Terengganu Inc; Cik Zaidhuha binti Omar, Naib Presiden Pejabat Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc; wakil-wakil daripada pihak konsultan, barisan pengurusan dan pasukan projek GPQ. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada kunjungan rasmi pihak SM-WEZ ke Terengganu Inc. Ia turut memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi pandangan serta memperkukuh pemahaman terhadap peranan Terengganu Inc sebagai syarikat pemegang pelaburan strategik milik penuh Kerajaan Negeri Terengganu, khususnya dalam menerajui aktiviti komersial, pembangunan sosio-ekonomi dan pemerkasaan pelaburan asing serta domestik. Sepanjang lawatan, taklimat ringkas mengenai projek telah disampaikan oleh Encik Mohd Zulkifli bin Yusof, Ketua Bahagian Projek GPQ. Taklimat tersebut merangkumi perkembangan semasa projek, cabaran teknikal yang dihadapi serta pendekatan strategik yang diambil oleh GPQ bagi memastikan kelestarian pantai dan keselamatan komuniti setempat. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada delegasi SM-WEZ atas kesudian mengadakan lawatan ini. Diharapkan lawatan ini dapat membuka ruang kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam usaha memperkukuh pembangunan mampan serta memperluas potensi pelaburan di Negeri Terengganu.

Thumbnail Image
10/06/2025

Program Ibadah Korban Kumpulan GPQ 2025/1446H

GPQ serta anak syarikat Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu dan GPQ WM Premix telah menganjurkan Program Ibadah Korban sempena Aidiladha pada 10 Jun 2025 bersamaan 13 Zulhijjah 1446H bertempat di Perkarangan Wisma GPQ, Chendering, Kuala Terengganu. Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Dato' Haji Burhanuddin Hilmi bin Mohamed@Harun, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd., YB LSr. Haji Zaharuddin bin Zahid, Pengerusi Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu Sdn. Bhd., Ahli-Ahli Lembaga Pengarah, barisan pengurusan dan seluruh warga kerja Kumpulan GPQ. Sebahagian daripada daging korban turut diagihkan kepada komuniti setempat termasuk keluarga yang memerlukan serta Kompleks Tahfiz dan Anak Yatim di sekitar Chendering, sebagai manifestasi keprihatinan sosial dan usaha berterusan GPQ dalam menyantuni masyarakat. Program ini bukan sekadar ibadah tahunan, malah menjadi platform memperkukuh nilai-nilai kemanusiaan, kebersamaan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warga GPQ. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga ibadah korban dan amal kebajikan yang dilakukan diterima oleh Allah SWT dan membawa keberkatan kepada semua.

Thumbnail Image
05/08/2025

LAWATAN KE TAPAK PROJEK PENGAWALAN HAKISAN PANTAI KUALA NERUS, TERENGGANU OLEH SKUAD KEMENTERIAN PERALIHAN TENAGA DAN TRANSFORMASI AIR (PETRA)

Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), YBhg. Dato’ Haji Mad Zaidi bin Mohd Karli telah mengadakan lawatan ke tapak Projek Pengawalan Hakisan Pantai, Kuala Nerus, Terengganu pada 24 Mei 2025. Lawatan ini bertujuan untuk meninjau perkembangan semasa projek dan mengenal pasti cabaran serta isu-isu utama yang dihadapi di peringkat pelaksanaan. Turut hadir ialah YB Dato’ Haji Hanafiah bin Mat, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu; YB Ustaz Shaharizukirnain bin Abd Kadir, Ahli Parlimen Setiu; YBrs. Ir. Mohamad Radzi bin Abdul Talib, Ketua Pengarah JPS; YBrs. Ir. Ts. Gs. Osman bin Abdullah, Pengarah JPS Negeri Terengganu; YBhg. Dato’ Haji Rosli bin Latif, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu; Tuan Haji Noor Mohd Suhaimie bin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif GPQ Sdn. Bhd.; pegawai-pegawai daripada PETRA, Unit Pelaksanaan Projek Persekutuan Terengganu (UPPPT), JPS Negeri Terengganu, JPS Kuala Nerus, Konsultan projek, barisan pengurusan dan pasukan projek GPQ. Sebagai kontraktor utama, GPQ bertanggungjawab terhadap kerja-kerja penambakan pasir (beach nourishment) sepanjang 2 km serta pembinaan 16 struktur pemecah ombak dari Pantai Mengabang Telipot hingga ke Pantai Batu Rakit. Sehingga kini, kemajuan fizikal projek telah mencapai 24.5% dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Januari 2027. GPQ kekal komited untuk memastikan segala aspek teknikal, keselamatan, dan kelestarian alam sekitar dititikberatkan dalam setiap fasa pelaksanaan, selaras dengan aspirasi Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam melindungi garis pantai dan menjamin kesejahteraan komuniti di pesisir pantai Kuala Nerus.

Thumbnail Image
10/05/2025

Lawatan Rasmi Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. ke Pejabat Satelit GPQ Sdn. Bhd.

Lawatan Rasmi Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. ke Pejabat Satelit GPQ Sdn. Bhd. GPQ Sdn. Bhd. berbesar hati menerima kunjungan rasmi YBhg. Dato’ Haji Burhanuddin Hilmi bin Mohamed @ Harun, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. ke Pejabat Satelit GPQ di Presint 14, Putrajaya pada 7 Mei 2025. Ketibaan beliau telah disambut oleh Tuan Haji Noor Mohd Suhaimie bin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif GPQ Sdn. Bhd. Lawatan ini merupakan manifestasi komitmen bersama dalam menjayakan Projek Pembangunan Masjid Kariah “Quran Village” (Fasa 1), sebuah inisiatif berimpak tinggi yang menggabungkan elemen spiritual, komuniti dan reka bentuk moden. Sepanjang lawatan, taklimat mengenai lukisan perspektif dan kemajuan projek telah disampaikan oleh Tuan Haji Ar. Nik Arshad bin Nik Mohamed, Pengarah Kumpulan Senireka Sdn. Bhd., serta Tuan Haji Mohd Rizaini bin Ghazali, Ketua Pegawai Operasi GPQ Sdn. Bhd. Turut hadir ialah barisan pengurusan GPQ serta wakil-wakil daripada Kumpulan Senireka Sdn. Bhd., ARH Jurukur Bahan Sdn. Bhd., Perunding ZAB Sdn. Bhd., ZAR Associate Sdn. Bhd., Perunding HAZ Sdn. Bhd., SKA Landscape Architect Sdn. Bhd., dan pasukan projek GPQ. Sebagai kontraktor utama, GPQ komited memastikan pelaksanaan projek ini berjalan lancar mengikut perancangan dan menepati piawaian yang ditetapkan. Lawatan ini turut menzahirkan sokongan padu semua pihak berkepentingan dalam menjayakan projek ini demi manfaat jangka panjang kepada masyarakat setempat.

Thumbnail Image
25/04/2025

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kumpulan GPQ

Syawal Dirai, Ukhwah Dieratkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kumpulan GPQ telah berlangsung dengan penuh meriah pada 23 April 2025 bertempat di VillaPadu, Kg. Serada, Kuala Terengganu. Majlis turut diserikan dengan kehadiran, YB Dato’ Haji Mohd Nor bin Hamzah, Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, YB Dato’ Nara Setia, Setiausaha Kerajaan Terengganu, YB Dato’ Haji Mohd Azmi bin Mohamad Daham, Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, YBM Dato’ Seri Tengku Bijaya Raja, YB Ustaz Hishamuddin bin Abdul Karim, Pengerusi GPQ Sdn. Bhd., YB Sr. Haji Zaharuddin bin Zahid, Pengerusi Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu Sdn. Bhd., Encik Badrol Hisham bin Mohamed@Shafie, Pengerusi GPQ WM Premix Sdn. Bhd., YB Dato' Dr. Haji Alias bin Razak, Ahli Parlimen Kuala Nerus, YB Ustaz Sulaiman bin Sulong, ADUN Pengkalan Berangan, Tuan Haji Burhanuddin Hilmi bin Mohamed@Harun, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Ahli Lembaga Pengarah GPQ dan anak syarikat. Turut hadir pegawai-pegawai kanan Kerajaan Negeri Terengganu, ahli-ahli korporat, tokoh perbankan, rakan-rakan strategik serta ahli perniagaan dari dalam dan luar Terengganu. Lebih 1000 tetamu hadir memeriahkan majlis yang diserikan dengan persembahan nyanyian dan pertunjukan bunga api yang berwarna-warni sambil disajikan dengan menu lauk kampung, kuih tradisional, dan pelbagai menu yang menarik menjadikan malam Syawal ini penuh makna dan kemeriahan. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada seluruh warga kerja Kumpulan GPQ atas komitmen dan usaha yang cemerlang, serta kepada para tetamu jemputan yang sudi hadir memeriahkan majlis. Mohon maaf sekiranya terdapat kekurangan daripada pihak kami sepanjang majlis berlangsung. Semoga majlis yang diadakan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim, memperkukuh jaringan kerjasama, dan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Thumbnail Image
24/03/2025

Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Mewarna Anak-Anak Kakitangan GPQ Sdn. Bhd. dan Iftar Bersama Anak-Anak Yatim dan Asnaf daripada kawasan Dun Tepoh

Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Mewarna Anak-Anak Kakitangan GPQ Sdn. Bhd. dan Iftar Bersama Anak-Anak Yatim dan Asnaf daripada kawasan Dun Tepoh, Kuala Nerus telah berlangsung dengan penuh meriah pada 20 Mac 2025 bertempat di Hotel Permai, Kuala Terengganu. Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim, Pengerusi GPQ, dan turut dihadiri oleh YB Sr. Haji Zaharudin Zahid, Pengerusi Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu Sdn. Bhd., Encik Badrol Hisham bin Mohamed@Shafie, Pengerusi GPQ WM Premix Sdn. Bhd., Tuan Haji Burhanuddin Hilmi bin Mohamed@Harun, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd., Encik Azizul bin Ab Hadi, Pengarah GPQ, Tuan Haji Noor Mohd Suhaimie bin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif GPQ, serta barisan Pengurusan dan kakitangan Kumpulan GPQ. Pertandingan mewarna yang diadakan sebelum ini adalah merupakan sebahagian daripada usaha GPQ untuk menggalakkan kreativiti dalam kalangan anak-anak kakitangan, di samping memberi peluang kepada mereka untuk menyumbang kepada reka bentuk poster kalendar GPQ bagi tahun 2025. Karya yang dihasilkan bukan sahaja mencerminkan bakat mereka, tetapi juga menjadi sebahagian daripada identiti korporat GPQ yang meraikan nilai kekeluargaan dan kebersamaan. Selain itu, majlis ini juga bertujuan untuk meraikan sebahagian anak-anak yatim dan asnaf sebagai tanda keprihatinan serta sokongan kepada mereka. Diharap sumbangan yang diberikan dapat meringankan beban keluarga mereka dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, sekaligus membawa kegembiraan dan keceriaan kepada mereka di musim perayaan ini. Terima kasih kepada semua yang telah menjayakan majlis ini. Semoga keberkatan Ramadan ini membawa kebahagiaan kepada semua.

Copyright 2023. All rights reserved.

Powered by Husa Network Sdn Bhd